Thursday, 11 May 2017

Bunyi ketukan pukul 4 pagi

Aku seorang yang gemar menonton drama korea. Kalau aku sudah melihat drama korea, seperti dunia ini aku yang punya dek kerana terlalu asyik melayan drama tersebut. Pada satu malam, aku seperti biasa melayan drama korea yang aku minta dengan kawan sekerja disebabkan rumah kami yang tiada siaran astro atau siaran televisyen. Jam menunjukkan pukul 11 malam. Mata aku mula layu dan mula tertutup tutup tetapi masih juga mahu menonton drama korea yang aku pasangkan tadi. Disebabkan aku terlalu mengantok kerana pada waktu siang aku bekerja, aku terlena. Tetapi seperti biasa, rutin aku sebelum tidur aku selalu membaca surah al fatihah, 3 Qul, ayat kursiy dan doa tidur. Sebab aku ni jenis yang selalu mimpi yang tidak baik jika aku tidak membaca ayat-ayat suci al Quran ni dan aku sejenis yang sensitive terhadap bunyi-bunyi yang ada di sekeliling menyebabkan aku selalu terbangun lewat malam dan terjaga dari tidur. Tiba-tiba aku terbangun dan terus meludah sebelah kiri 3x dan menepuk nepuk bantal sambal membaca ayat kursiy. Aku melihat jam di dinding menunjukkan pukul 1.30 pagi. Aku bermonolog dalam hati “aku mula mimpi lagi benda tu”. Setelah itu, aku menyambung tidur semula kerana menganggap itu suatu perkara biasa yang terjadi sama aku. Tetapi aku berasa hairan, padahal aku sudah membaca ayat-ayat suci al Quran sebelum tidur. Aku tidak melayan perasaan aku itu dan terus menyambung tidur semula dek kerana memikir esok hari perlu bekerja. AKu terbangun lagi. Tapi kali ini disebabkan aku menetapkan alarm di telefon bimbitku pukul 4 pagi kerana aku ingin berpuasa ganti pada esok hari memandangkan aku belum melunas hutang-hutang berpuasa yang lalu. Setelah aku mematikan alarm di telefon bimbitku, aku tiba-tiba teringat mimpi yang aku alami tadi. “Aku mimpi benda yang sama dan menakutkan lagi”. Aku mula hairan mimpi itu bersambung semula sedangkan aku sudah menukar posisi bantal dan membaca ayat suci al Quran. “Ahhh. Bagus sambung tidur 5 minit lagi”. Aku bermonolog lagi. Lalu aku cuba untuk melelapkan mata. Dalam keadaan separuh sedar, sayup-sayup kedengaran seperti bunyi sesuatu di ketuk. Tapi aku tidak berapa pasti sama ada ketukan atau bunyi air paip di sinki menitis-nitis atau yang sejenis dengannya sebab aku masih lagi separuh sedar. Lama kelamaan bunyi itu menggangguku. Disebabkan aku tersangat sensitive terhadap bunyi seperti itu, lantas aku duduk. Aku berfikir “mungkin pakcik sebelah ni tengah bertukang. Menukul nukul paku di dinding.” Tapi bila aku fikir secara logic, enapa pakcik itu bertukang pukul 4 pagi? Itu menjadi tanda tanya dalam diriku. Sekali lagi aku membuat sangkaan. “Aku rasa housemate sebelah ni pergi potong sayur atau ikan untuk dibuat bekal untuk bekerja esok hari”. Lalu aku bangun melihat di kaca tingkap untuk melihat di pintu utama rumah kami kalau-kalau ada orang mengetuk pintu sebab aku masih tidak dapat menjangka bunyi apakah itu. Tapi setalah aku melihat dari kaca tingkap rumah kami, aku tidak melihat apa-apa bayang bayang atau warna dan membuatkan aku berasa berat hati untuk membuka tingkap. Tapi aku masih tidak berpuas hati mendengar bunyi itu. Makin lama makin kuat. Lalu dengan perasaan yang ingin tahu, aku membuka tombol pintu bilik dan menjenguk keluar untuk melihat kalua-kalau housemate aku tengah potong sayur. Tetapi malangnya, setelah aku buka pintu bilik, bunyi itu terus hilang. Seperti pintu bilik yang aku buka itu yang bermasalah. Aku berasa hairan, dan masih berpikiran positif dan menjangka mungkin itu bunyi sesuatu benda yang tidak disusun dengan baik sehingga meghasilkan bunyi tersebut. Lama aku menunggu bunyi itu. Tiada. Setelah bunyi itu tidak kedengaran lagi, aku menutup pintu bilik dan ingin menyambung tidur kembali. Tetapi… sebelum punggung aku mencecah katil untuk baring, aku terdengar kembali bunyi ketukan itu. Aku terpaku. Aku terdiam seketika dan otak aku mula berpikir satu benda. Satu benda yang tidak dapat ditafsir dan dilihat oleh mata kasar manusia. Ya. Aku yakin dan tersangat yakin itu adalah benda “itu”. Dek kerana tidak sedap hati takut-takut itu hanya mainan perasaanku sahaja, aku mengejutkan roommate aku yang tidur lena. Nasib roommate aku ini jenis yang cepat sedar kalau tidak…. Habis la aku. Sesedar dia, aku terus menanya “kau dengar bunyi tu”. AKu berdebar debar menunggu jawapannya. “Ya.. aku dengar”. Jantung aku makin laju berdengup. Lalu dia pun hairan bunyi itu. Bunyi ketukan itu semakin kuat dan galak sehingga membuatkan aku terketar-ketar sedangkan roommate aku masih bingung dengan apa yang terjadi. Dalam kepala aku hanya satu. Adakah dia yang dalam mimpi datang menuntut janjinya dengan aku? Roomate aku ingat membuka kaca tingkap bilik yang aku tengok tadi. Aku memesan dengan dia jangan membuka tingkap itu. Setelah itu, dia pun ingin membuka pintu bilik untuk mencari di manakah bunyi itu datang. Dia terus memusing tombol dan aku terus menegur “jangan buka pintu tu”. Dan dia tidak membuka tetapi hanya memulas tombol pintu bilik dan saat itu aku saling berpandangan dengan roommate aku dengan perasaan yang bercampur baur. Ketika roommate aku memulas tombol itu, bunyi ketukan yang sangat kuat dan tiada henti itu tiba-tiba berhenti. Dengup jantung aku makin laju lalu aku menggapai tuala untuk menutup kepalaku lalu mengambil tafsir alQuran yang aku letak diatas almari. Dengan suara yang terketar-ketar dan berasa takut aku mula membaca surah Yassin sedangkan roommate aku masih bingung lagi apa yang hendak dilakukan. Aku meneruskan bacaan dengan perasaan takut. Tangan aku sejuk, lutut aku menggeletar. Suara ketukan itu makin lama makin perlahan didengar tetapi aku terhenti seketika dek kerana tercungap -cungap membaca surah Yassin itu dengan perasaan takut dan terkejut. Tetapi pada waktu ini aku sedar satu perkara. Aku teringat kisah cerita hantu arahan Syamsul Yusof bertajuk Munafik. Aku tiba-tiba teringat bila Syamsul Yusof dalam watak tersebut diuji berkali-kali sedangkan dia adalah ustaz dan ahli masjid yang sangat tawaduk. Rupa-rupanya dia diuji disebabkan perasaan ragu-ragu yang menyelubungi diri. Aku tidak tahu bagaimana aku boleh berfikir sejauh itu, tetapi aku memang jenis yang suka mencari pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah yang timbul tidak kisahlah masalah apa sekali pun asalkan dapat meyelesaikan masalak. Ini kerana, ketika aku terhenti seketika ketika membaca surah Yassin itu, bunyi ketukan itu makin kedengaran dan kuat. Lalu aku menarik nafas panjang dan menyambung semula bacaanku dengan penuh yakin dan aku menguatkan semangat. “Seharusnya aku tidak perlu takut kepada mahkluk-makhluk selain Allah. Ya. Dia Tuhan Yang Satu.” Sejurus itu, aku menguatkan suaraku dan dengan penuh yakin mengungkapkan setiap kalimah Surah Yassin itu sehingga ke bacaaan “Fasubhanalladzi biyadihi malakutu kulli syaiwwailahiturjaun”. Alhamdulillah. Azan subuh berkumandang dan kami berasa lega. Tenang yang teramat tenang. Aku berfikir sejenak. Adakah benda didalam mimpi aku menuntut janji dari aku? Aku bermimpi.. Di dalam mimpi itu ada sekujur tubuh yang sudah dimandikan dan sedia untuk dikebumikan tetapi sebelum itu, orang-orang (aku pun tidak tahu siapa orang-orang ini) di situ meminta aku untuk membaca surah Yassin sebelum jenazahnya dikebumikan tetapi malangnya, dalam mimpi itu aku tertidur sehingga ke esok harinya dan aku tidak dapat membaca Surah Yassin untuk dijadikan sedekah kepada jenazah tersebut. Itu la yang aku mimpi yang selama satu malam itu. Mimpi yang bersambung-sambung. Waallahualam. AKu hanya manusia biasa yang tidak mungkin menafsir mimpi tersebut. Aku anggap sahaja mimpi dan peristiwa ngeri itu untuk memberi kesedaran dengan aku dan rajin-rajinlah membaca surah Yassin untuk disedekah kepada ahli-ahli keluarga dan umat islam yang sudah berada di dunia lain. Dan paling penting, sebelum tidur jangan lupa baca doa dan sekurang-kurangnya hafal lah ayat Kursiy sebagai pendinding diri. Yakin dengan kuasa Allah. In Shaa Allah tidak akan jadi sesuatu jika tidak dengan izinNya.